Hari ini saya bercadang untuk menulis dalam bahasa ibunda saya setelah sekian lama. Mungkin kali terakhir saya menulis dalam bahasa ibunda ialah ketika menduduki peperiksaan SPM. Saya masih ingat satu hari (ketika saya di Tingkatan 5) saya telah membawa pulang latihan kerja rumah karangan saya dan meminta Abah membantu saya kerana saya langsung tidak dapat memikirkan bagaimana untuk menulis karangan tersebut.
Antara laman blog yang saya ikuti, hanya seorang saja yang berusaha menulis dalam bahasa ibunda saya. Saya amat menyukai blog penulis ini kerana saya mendapati nukilannya sangat menarik. Setiap kali saya membaca cerita beliau, saya akan tersenyum atau ketawa seorang diri kerana beliau begitu kelakar. Penulis ini sedang menuntut di luar negara. Di samping blog tersebut, beliau juga mempunyai dua laman blog lain, di mana salah satunya ditulis dalam bahasa Inggeris dan satu lagi dalam bahasa Inggeris dan Perancis. Jadi beliau seorang yang fasih dalam pelbagai bahasa (beliau juga sedang mempelajari bahasa Mandarin dan Jerman). Saya amat kagum dengan kesungguhan beliau menulis dalam bahasa ibunda dan kebolehannya menulis dalam bahasa Inggeris (penguasaan bahasa Inggerisnya sangat bagus!) dan Perancis.
Mungkin para pembaca tertanya-tanya mengapa saya menulis dalam bahasa ibunda saya hari ini. Sebenarnya begini: sejak kebelakangan ini, saya menyedari seorang pengunjung laman ini yang telah meninggalkan maklumbalasnya dalam kotak maklumbalas (atau coretan atas papan conteng siber) saya. Saya menyedari kewujudannya sejak saya menulis mengenai tuduhan meludah terhadap buah hati saya yang juga merupakan ketua pasukan kelab bola sepak yang saya sokong. Beliau menggunakan nama Harimau dan saya tahu bahawa dia adalah seorang penyokong kelab yang memakai jersi jingga berjalur hitam (seperti belang harimau) tersebut. Saya percaya bahawa dia bukanlah seorang yang memahami bahasa ibunda saya kerana kelab yang disokongnya itu tidak langsung terkenal di sini (malah saya sendiripun hanya menyedari kewujudan kelab tersebut pada permulaan musim ini). Pendek kata, kelab yang disokongnya itu tidak mahsyur langsung di negara ini. Mungkin ada orang yang tidak pernah mendengar langsung nama kelab beliau.
Sekarang pengunjung ini telah mengetahui nama timangan saya. Saya tidak begitu peduli tetapi mengikut pemahaman saya, dalam etika penulisan blog, kita seharusnya menggunakan nama yang digunakan oleh penulis blog dan bukan nama sebenar mereka ketika berkomunikasi dalam alam blog. Memang tidak dinafikan terdapat penulis yang menggunakan nama sebenar mereka – ini adalah pilihan mereka sepertimana saya memilih untuk tidak menggunakan nama saya. Tetapi Encik Harimau (saya mengesyaki bahawa dia seorang lelaki, jangan tanya mengapa) seolah-olah gembira semacam apabila mengetahui nama saya.
Blog saya ini bukanlah rahsia. Ia untuk kunjungan dan tatapan umum. Sesiapa sahaja boleh mengunjunginya dan boleh meninggalkannya bila-bila masa. Saya hanyalah seorang gadis biasa yang secara kebetulan meminati bola sepak. Di sini tempat untuk saya berkongsi pengalaman, perasaan keliru, perasaan gembira, sedih dan sebagainya. Namun, saya tidak pernah mengiklankan blog ini kerana saya sedar nukilan saya ini tiada yang istimewa, tidak semua orang meminati atau memahami bola sepak dan saya juga cuma mahu kekal sebagai antara jutaan penulis blog lain (satu lagi sebab ialah saya berkemungkinan akan mengutuk orang dalam blog ini. Malah sekarangpun saya memang sentiasa mengutuk kelab lain terutama sekali kelab Najis Haiwan - dan saya tidak kesal sama sekali malah akan terus berbuat demikian, ya, tanpa secebispun rasa bersalah). Jadi saya agak terkejut dengan kunjungan Encik Harimau terutama sekali kerana saya percaya dia bukanlah seorang rakyat negara ini. Mungkin dia sampai ke blog saya dengan menggunakan enjin pencari. Entah mengapa saya rasa tidak sedap hati dengan maklumbalas yang saya terima daripada Encik Harimau. Dan saya rasa tidak selesa sekali apabila beliau mula menggunakan nama timangan saya ketika meninggalkan maklumbalasnya. Saya amat tidak suka sama sekali.
OK, cukup mengenai Encik Harimau.
Esok, buah hati saya akan kembali beraksi setelah sekian lama. Saya tidak sabar menanti kepulangannya. Perlawanan esok merupakan satu daripada tujuh perlawanan dalam hanya 22 hari bagi kelab saya. Saya agak cemas dan khuatir mengenai jadual perlawanan yang begitu ketat dan saya seperti biasa akan berdoa agar kelab saya akan berjaya dalam perjuangannya. Syukurlah sekarang kelab saya mempunyai seorang lagi pemain berpengalaman di samping pemain lain yang sedia ada (kelab saya mempunyai ramai pemain antarabangsa; saya amat berbangga dengan fakta bahawa jurulatih kami langsung tiada perasaan perkauman). Walaupun saiz tubuh beliau agak kecil berbanding pemain lain, beliau seorang yang mahir dan berpengalaman (saya juga mendapati beliau agak comel – agak jarang kita bertemu dengan orang berkulit putih yang bermata sepet dan kebetulan saya suka orang bermata sepet - tetapi sudah tentu buah hati saya lebih comel dan kacak. Oh sekiranya buah hati saya meninggalkan kelab saya, saya tidak tahu apa yang saya akan buat: menangis berhari-hari, berhenti menyokong kelab saya, mula menyokong kelab baru beliau atau berhenti menonton bola sepak terus??).
Sekian untuk kali ini. Saya harus mengaku bahawa agak letih bagi saya untuk memerah otak saya menulis rencana ini (maaf, saya tidak dapat memikirkan terma yang betul). Diharap anda akan menikmati cuti hujung minggu anda. Oh, mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada sejarah akan berulang. Kita tunggu dan lihat, sebagaimana kita tunggu dan lihat sama ada Encik Harimau memahami nukilan saya kali ini (sudah tentu ada kemungkinan dia berkongsi kerakyatan yang sama dan memahami coretan saya tetapi berpura-pura tidak faham supaya saya akan terus mengesyaki beliau bukan rakyat negara ini).
P.S. Adakah anda mendapati penguasaan dan penulisan bahasa ibunda saya bagus? Boleh dapat 98% bagi karangan? Maklumbalas dialu-alukan dan anda boleh menulis dalam bahasa ibunda atau Inggeris.
P.P.S. Setelah diamati semula, saya rasa coretan ini bertaraf penulisan penuntut Tingkatan 3. *Sedih*
Friday, April 03, 2009
Hari Ini Dalam Sejarah
SCRIBBLED BY ADEK FÀB at 4/03/2009 02:27:00 pm
Labels: MISCELLANEOUS
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
|